UCARD

Panduan Nikah Di Masjid Dan Adab Di Dalam Masjid

PANDUAN NIKAH DI DALAM MASJID
Secara ringkasnya proses tempahan di mana-mana masjid adalah lebih kurang sama sahaja prosesnya. Bayaran tempahan mungkin berbeza di setiap masjid. Ada masjid tidak mengenakan sebarang harga dan ada masjid meletakkan harga tertentu.
  1. Bawa borang nikah telah diluluskan oleh Jabatan Agama/Majlis Agama (jika perlu)
  2. Jumpa pegawai pentadbiran masjid
  3. Semak kekosongan masa/tarikh dewan nikah
  4. Buat bayaran & terima resit (simpan resit untuk rujukan pihak masjid nanti)
ADAB-ADAB NIKAH DI DALAM MASJID

Adab-adab semasa hadir ke majlis akad nikah yang dilangsungkan di masjid perlu sentiasa diambil perhatian oleh pasangan pengantin dan ahli rombongan yang hadir. Ia merangkumi beberapa aspek seperti yang berikut:

  1. Melakukan ibadat-ibadat sunat;
  2. Memelihara adab berpakaian;
  3. Memelihara adab berhias dan berdandan; dan
  4. Menjaga tatatertib dan kesantunan.
1. Melakukan Ibadat-Ibadat Sunat

Memandangkan masjid merupakan rumah Allah SWT, sewajarnya setiap umat Islam yang mengunjungi masjid berusaha untuk mendapat ganjaran pahala dan fadilat semasa berada di dalamnya. Justeru, bakal pengantin berserta ahli rombongan yang hadir, disunatkan untuk melakukan perkara-perkara berikut apabila memasuki masjid:

  1. Berwuduk;
  2. Berniat iktikaf dengan lafaz ”sahaja aku mengerjakan sunat iktikaf di masjid ini kerana Allah Taala”;
  3. Sebelum duduk, disunatkan menunaikan sembahyang sunat tahiyyatul masjid sebanyak dua rakaat dengan lafaz niat ”sahaja aku sembahyang sunat tahiyyatul masjid, dua rakaat kerana Allah Taala”; dan
  4. Berzikir secara senyap tanpa mengganggu orang lain, sementara menunggu upacara akad nikah bermula.

2. Adab Berpakaian

Setiap pengunjung yang berkunjung ke masjid mestilah menjaga adab berpakaian semasa berada di dalamnya.

Bagi lelaki, adab berpakaian semasa menghadiri upacara akad nikah di masjid adalah seperti yang berikut:

Memakai pakaian yang suci dan bersih, menutup aurat dan tidak memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera tulen.

Adab berpakaian bagi wanita semasa menghadiri upacara akad nikah di masjid adalah seperti yang berikut:

  1. Memakai pakaian yang suci dan bersih;
  2. Menutup aurat; dan
  3. Memakai pakaian yang longgar (tidak ketat), tidak jarang atau nipis sehingga boleh menampakkan kulit dan bentuk susuk badan.
3. Adab Berhias dan Berdandan

Sebagai agama yang mudah dan mengamalkan kesederhanaan, Islam tidak menolak secara mutlak konsep berhias dalam kalangan wanita Islam. Namun begitu, cara berhias dan berdandan seseorang wanita itu mestilah selaras dengan tuntutan Islam, iaitu antaranya seperti yang berikut:

  1. Tidak berlebih-lebihan atau keterlaluan dalambersolek dan berhias sehingga boleh menarik perhatian orang yang memandang atau membawa kepada fitnah;
  2. Hanya mengenakan solekan yang ringkas bagi menaikkan seri wajah pengantin;
  3. Niat asal bersolek itu bukanlah dibuat dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk atau menarik perhatian orang yang memandang;
  4. Memakai perhiasan dan barang kemas seperti cincin, gelang dan rantai tidak secara melampaui batas sehingga boleh membawa kepada sikap sombong dan bermegah-megah untuk mempamerkan kekayaan; dan
  5. Diharuskan bagi pengantin perempuan dan ahli rombongan wanita memakai bau-bauan bagi tujuan menghilangkan bau badan, tetapi pemakaiannya tidak boleh secara berlebihan sehingga dapat dihidu oleh orang lain atau sehingga menimbulkan fitnah.

Bagi pengantin lelaki dan ahli rombongan lelaki yang mengiringi pengantin, mereka dilarang daripada memakai perhiasan seperti:

  1. rantai, gelang, subang dan perhiasan-perhiasan yang menyerupai wanita; dan
  2. perhiasan yang diperbuat daripada emas, emas putih dan suasa.

Namun begitu, diharuskan bagi lelaki memakai perhiasan yang berikut:

  1. Cincin yang diperbuat daripada perak dan platinum; dan
  2. Memakai minyak wangi, bahkan, kaum lelaki digalakkan memakai bau-bauan yang harum semasa berkunjung ke masjid.

Harus bagi pengantin perempuan berinai dengan syarat-syarat berikut:

  1. Harus memakai inai pada kedua-dua tangan dan kaki selagi tidak menimbulkan fitnah;
  2. Kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja;
  3. Warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan tidak mengandungi sebarang unsur yang meragukan;
  4. Corak atau ukiran yang dibenarkan ialah corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan; dan
  5. Corak atau ukiran haiwan, lambang dewa-dewa, ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
4. Menjaga Tatatertib dan Kesantunan

Selain daripada adab berpakaian dan berhias, pengantin dan ahli rombongan yang hadir juga hendaklah menjaga tatatertib dan kesantunan dalam beberapa aspek berkaitan semasa berada di dalam masjid. Antara perkara-perkara tersebut ialah larangan memasuki masjid bagi:

  1. lelaki dan wanita yang berhadas besar, termasuk bagi wanita yang sedang dalam haid;
  2. kanak-kanak yang dibimbangi najis mereka boleh menitis ke lantai. Bahkan, kanak-kanak yang turut dibawa bersama-sama ke masjid hendaklah dipastikan bersih daripada segala kekotoran dan najis serta baubauan yang tidak menyenangkan.

Perkara-perkara berikut juga hendaklah dihindari semasa berada di dalam masjid, iaitu:

  1. Bercakap tentang hal-hal keduniaan, bercerita hal-hal orang lain dan pada perkara yang sia sia;
  2. Kanak-kanak membuat bising, bermain-main, berlari-lari atau menangis di dalam masjid. Sekiranya tingkah-laku kanak-kanak tersebut sukar lagi dikawal, mereka hendaklah dibawa keluar daripada masjid;
  3. Membawa barang-barang hantaran perkahwinan ke dalam masjid. Memadai dengan hanya membawa mas kahwin semasa upacara akad nikah tersebut dilangsungkan; dan
  4. Sesi bergambar dan rakaman video upacara akad nikah yang melampaui batas sehingga masjid seolah-olah seperti studio rakaman dengan limpahan cahaya kamera.

Berkomunikasi semasa berada di dalam masjid adalah diharuskan dengan adab-adab seperti yang berikut:

  1. Bercakap hanya pada perkara-perkara yang penting, perlu dan bermanfaat sahaja; dan
  2. Bercakap dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah lain yang sedang beribadat.

Sekiranya terdapat ahli rombongan pengantin yang bukan beragama Islam turut hadir dalam majlis akad nikah tersebut, diharuskan bagi mereka memasuki masjid dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  1. Mendapat keizinan daripada pihak pengurusan masjid;
  2. Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan;
  3. Perlakuan dan tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid, sentiasa terkawal dan beradab; dan
  4. Tidak berdoa atau bertafakur mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah.
  5. Selain itu, antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengantin dan ahli rombongan yang hadir ke upacara akad nikah di masjid ialah:
  6. Tempat duduk lelaki dan perempuan mestilah berasingan atau duduk secara bersebelahan antara satu sama lain; dan
  7. Diharuskan makan dan minum di tempat yang telah disediakan khusus oleh pihak pengurusan masjid dengan memastikan kebersihan masjid sentiasa terjaga daripada sebarang bentuk kekotoran.

Pihak pengurusan masjid juga hendaklah memastikan bahawa upacara akad nikah yang akan dijalankan tidak dilaksanakan di hadapan mimbar atau mihrab masjid.

Rujukan: Portal Rasmi Fatwa Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Hubungi

hj Shaharum

Hjh Siti Zawiyah

En. Bahry

Pn. Ina